Followers

____________________________________________________________________________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 29

KEJUTAN REAL MADRID DAN BARCELONA

MARAN: Seorang peneroka yang terlelap di ruang tamu rumahnya ketika menunggu siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah antara Real Madrid menentang Barcelona, awal pagi semalam, tergamam apabila dikejutkan tiga penyamun yang mengacukan parang di lehernya dalam kejadian samun di Felda Jengka 18, dekat sini.

Kira-kira lima jam selepas kejadian pada jam 2.30 pagi itu, mangsa Ramli Saad, 58, sekali lagi terkejut apabila diberitahu tiga penjenayah terbabit ditembak mati dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya.

“Saya lihat ramai orang berkumpul di situ dan apabila sampai di sana, seorang rakan memberitahu ada penyamun kena tembak dan mereka adalah kumpulan yang menyamun saya,” katanya Ramli berkata, dia terjaga daripada tidur apabila badannya ditepuk seorang daripada tiga penyamun terbabit yang turut mengacu parang di lehernya sebelum tangannya diikat menggunakan dawai ampaian, manakala mukanya ditekup dengan tuala.
Selepas diikat dan diarahkan diam, penjenayah bertopeng dipercayai warga asing itu menggeledah rumahnya dan melarikan empat telefon bimbit serta wang tunai RM300.

Ramli yang juga pembekal baja berkata, ketika kejadian dia berseorangan di ruang tamu rumahnya, manakala isterinya, Normah Khalid, 53, dan tiga anaknya serta dua cucunya nyenyak tidur dalam bilik.

“Saya memang ‘kaki bola’ dan menyokong pasukan Barcelona terlelap seketika sementara menunggu perlawanan itu bermula.

“Saya sama sekali tidak menyangka apabila dikejutkan tiga lelaki bertopeng yang mengacu parang ke leher saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana khuatir dicederakan.
“Selepas menggeledah kira-kira lima minit, mereka melarikan diri apabila gagal membuka tiga pintu bilik tidur di rumah saya.

“Mereka hanya melarikan empat telefon bimbit dan dompet saya mengandungi wang tunai RM300,” katanya memaklumkan penyamun terbabit masuk melalui bahagian belakang rumahnya yang sedang diubahsuai.

Ramli berkata, selepas tiga penyamun terbabit melarikan diri, dalam keadaan tangan masih terikat, dia menjerit memanggil anak sulungnya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU).

“Saya bertempik meminta pertolongannya yang kemudian membuka ikatan pada tangan saya dan mengejutkan ahli keluarga yang lain.

“Mereka semua terkejut kerana langsung tidak menyedari rumah kami dimasuki penyamun,” katanya yang menghubungi polis selepas itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui penjenayah terbabit ditembak mati dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya apabila keluar ke kedai di simpang masuk Felda berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

“Ketika saya sampai mayat penjenayah itu sudah dibawa polis. Yang tinggal hanyalah Perodua Viva berwarna merah dinaiki mereka tersadai selepas melanggar pokok sawit dan beberapa anggota polis melakukan siasatan,” katanya.

Tiga penjenayah terbabit ditembak mati sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Felda berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa dan sejam selepas melakukan rompakan.

SUMBER : myMetro

0 comments:

Post a Comment